Tuesday, May 3, 2011

SALAH FAHAM MENGENAI WASIAT!



PERTAMA: WASIAT KEPADA AHLI WARIS YANG BERHAK MENDAPAT PUSAKA
CONTOH DIALOG:
Abu merupakan bapa kepada Kasim, Ali dan Fatimah. Dengan menjengilkan mata tepat kea rah Kasim dan Ali, beliau berkata: “Aku wasiatkan tanah kebun ditepi sungai kepada adik bangsu kamu, Fatimah!...setuju atau tidak?” Mereka pun menjawabdengan nada lemah, “Kami setuju.” Sambil menundukkan muka ke lantai tanda tidak puas hati.
Terdapat sesetengah orang Islam yang berpegang kepada amalan berwasiat kepada ahli waris yang berhak mendapat pusaka sedangkan mereka mendapat jaminan hak dalam pusaka si mati sebagaimana yang telah ditetapkan dalam faraid.
Sebenarnya asas wasiat yang dibuat semasa hayat seseorang adalah untuk  diberikan kepada ahli keluarga yang tidak tersenarai sebagai ahli waris seperti anak angkat yang dibela sejak kecil ataupun orang orang yang paling rapat (bukan waris) yang sentiasa menolong arwah semasa susah dan lain-lain.
Dalam hal ini, jumhur fuqaha berpendapat bahawa hukum berwasiat kepada ahli waris adalah tidak sah melainkan jika mendapat persetujuan daripada kalangan semua ahli waris. Wasiat tersebut dikira “mauqufah” kerana ia tertakluk kepada persetujuan ahli-ahli waris yang lain. Adapun persetujuan dan keizinan yang diberikan selepas kematian pewasiat bukan semasa hidupnya.
Kedudukan ini dikukuhkan lagi melalui hadis Rasulullah SAW itu yang bermaksud: “Telah menceritakan kepada kami oleh Abd al-Wahhab Ibn Najdah, telah menceritakan kepada kami oleh Ibn Ayyash, daripada Shurahbil Ibn Muslim, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH menetapkan hak bagi setiap empunya, oleh itu tidak harus berwasiat kepada ahli waris.”(Riwayat Al-Baihaqi no.12321)

KEDUA: MEWASIATKAN KESELURUHAN ATAUPUN LEBIH DARIPADA SEPERTIGA HARTA
CONTOH DIALOG:
Mak Timah telah lama kematian suaminya berkata kepada dua anak lelakinya, “Abdul Wahab dan Abdul Wahib, rumah pusaka yang didiami sekarang ini aku wasiatkan kepada Abdul Wahub yang telah menjaga sakit pening aku selama ini semenjak kamu pergi ke Kuala Lumpur .” Abdul Wahub adalah anak angkat yang telah tinggal bersamanya selama lebih 18 tahun.
Berhubung dengan amalan mewasiatkan keseluruhan harta ataupun lebih daripada sepertiga harta kepada seseorang ini memang banyak berlaku dalam kalangan masyarakat Islam. Mereka ini mahu agar harta tersebut hanya dimiliki oleh individu yang disukainya semasa hidup diatas sebab-sebab tertentu. Kadar harta yang boleh diwasiatkan oleh pewasiat menurut ketentuan syarak adalah setakat 1/3 sahaja daripada harta bersihnya. Iaitu harta  yang masih ada semasa kematiannya setelah digunakan untuk perbelanjaan pengebumian dan melangsaikan hutang-hutangnya jika ada.
Jadi, tidak sah berwasiat melebihi kadar 1/3 harta yang dibenarkan kecuali waris-waris yang berhak bersetuju. Ia bertujuan untuk memelihara kebajikan waris-waris pewasiat yang berhak ke atas harta peninggalan tersebut.
Saad Bin Abu Waqqas berkata telah datang Rasulullah SAW untuk melihatku sedang aku berada di Makkah. Aku berkata , “Ya Rasulullah, apakah aku harus mewasiatkan semua hartaku?” Baginda menjawab : “Tidak.”
Aku berkata : “Sebahagiannya?” Baginda menjawab : “Tidak.”
Aku berkata lagi : “Sepertiga?” Baginda menjawab : “Ya! Sepertiga. Dan sepertiga itu masih banyak. Sesungguhnya apabila engkau meninggalkan ahli waris kaya itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka miskin, meminta-minta kepada manusia dengan tangan mereka.”


KETIGA: WASIAT YANG BERCANGGAH DENGAN FARAID
CONTOH DIALOG:
Tuan Haji Labu, orang kaya Kampung Pinang Sebatang berkata. “Aku wasiatkan supaya kamu bahagikan harta-hartaku ini sama rata kepada semua anakku.” Pesannya kepada adiknya Tuan Haji Labi sambil memandang kepada kelima-lima anaknya yang terdiri daripada 3 orang lelaki dan 2 orang perempuan.
Wasiat seumpama ini adalah tidak sah kerana jelas bercanggah dengan hukum faraid yang memperuntukkan bahagian lelaki menyamai dua bahagian perempuan. Selain itu wasiat memerlukan kepada persetujuan waris-waris yang berhak selepas kematian pewasiat. Hal ini kerana wasiat yang ditujukan kepada waris-waris yang berhak mendapat pusaka (anak-anaknya) melebihi kadar sepertiga keseluruhan harta.
ALLAH SWT telah pun menegaskan dalam firman-Nya, surah Al-Nisa, ayat 11 yang antaranya bermaksud:
“ALLAH perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai dua bahgian anak perempuan.”
Firman ALLAH SWT lagi dalam surah Al-Nisa, ayat 176 bermaksud:
“Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua anak perempuan.”
Jelas bahawa apabila berkumpul antara waris lelaki dan perempuan, waris lelaki akan mengambil bahagiannya dalam pembahagian pusaka Islam yang menyamai dua bahagian waris perempuan. Ini bermakna waris perempuan mendapat setengah daripada bahagian yang diperuntukkan untuk waris lelaki.


KEEMPAT: WASIAT MERUPAKAN PESANAN YANG BERCANGGAH DENGAN SYARAK
CONTOH DIALOG:
“Ayah wasiatkan kepada engkau supaya jangan berkahwin sampai bila-bila kalau engkau hendakkan harta ayah! Kalau tidak satu sen pun jangan harap ayah akan wariskan pada kau!” jerkah Kassim Baba kepada anaknya  Sharif Lobo yang sekarang merupakan pengerusi syarikatnya.
Wasiat seperti ini hanya merupakan pesanan sahaja dan tidak diwajibkan kepada pihak yang ditujukan utnuk memenuhi kehendak pewasiat tersebut. Hal ini kerana wasiat itu jelas mengharamkan perkara yang dihalalkan iaitu melarang untuk berkahwin kepada individu yang telah cukup syarat-syaratnya.

KESIMPULAN
Kesimpulan yang boleh didapati hasil daripada penulisan ini ialah masyarakat Islam seharusnya memahami wasiat dalam erti kata dan konsep yang sebenar selaras dengan syarak. Kefahaman itu dapat mewujudkan kesejahteraan sosial sekaligus menghindarkan mereka daripada kekeliruan dan salah faham yang boleh menjerumuskan mereka kearah kesesatan dan kerosakan.
p/s : Dapatkan penerangan yang lebih jelas sebelum anda bertindak.

2 comments: