Thursday, May 5, 2011

TIADA WASIAT KPD WARIS!..MENGAPA?




Q.Si mati(suami) meninggalkan wasiat bahawa harta yang ditinggalkan hendaklah dibahagikan kepada anak-anaknya baik dari isteri yang pertama mahupun isteri yang kedua. Disamping itu juga segala urusan pengurusan pusaka hendaklah dilaksanakan oleh isteri yang pertama.
Dalam permasalahan ini, wasiat tersebut wujud tetapi ianya ditujukan kepada ahli waris. Perlu dijelaskan disini, wasiat sebegini sekalipun tidak dilakukan, anak-anak tetap mendapat bahagian bahkan ia dijamin oleh syarak.

Pada dasarnya, wasiat yang dibuat semasa hayat seseorang adalah untuk diberikan kepada ahli keluarga yang tidak berada dalam senarai ahli waris seperti anak angkat yang dibela sejak kecil, orang yang paling rapat yang sentiasa menolong arwh semasa susah, orang yang menjadi kepercayaan sejak sekian lama ataupun individu tertentu yang kewujudannya amat dihargai semasa si mati hidup. Baginda Rasulullah SAW menegaskan bahawa peruntukkan wasiat adalah tidak melebihi satu pertiga daripada keseluruhan harta yang dimiliki oleh si mati.

Ini selaras dengan dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Tirmizi yang antaranya bermaksud, “ Sesungguhnya ALLAH SWT telah memberikan kepada setiap orang yang berhak itu akan haknya. Maka tidak boleh berwasiat kepada ahli waris.”

Jumhur fuqaha berpendapat hukum berwasiat kepada ahli waris adalah tidak sah melainkan jika mendapat persetujuan daripada kalangan semua ahli waris. Wasiat tersebut dikira “mauqufah” kerana ia tertakluk kepada persetujuan ahli-ahli waris yang lain. Dan persetujuan yang diberikan itu hendaklah diberikan selepas kematian pewasiat di samping ahli-ahli waris tersebut  yang mempunyai kelayakan iaitu berakal, baligh dan cerdik.

Dalam masalah diatas, arwah meninggalkan dua orang balu bersama anak-anak (tidak dinyatakan berapa orang daripada isteri pertama dan kedua). Justeru wasiat tersebut adalah tidak sah, melainkan jika mendapat persetujuan daripada semua ahli waris yang berhak kepada harta tersebut termasuk 2 orang balu tersebut. Dalam keadaan ini terdapat 3 andaian dalam keadaan seperti ini, iaitu;

(a)    Sekiranya semua ahli waris seperti yang dinyatakan sebelum ini bersetuju  atau bermuafakat (anak-anak dan balu-balu), maka bolehlah harta tersebut diberikan kepada anak-anak arwah mengikut wasiat si mati. Persetujuan tersebut pula dibuat selepas empunya harta ( si arwah) meninggal dunia bukan semasa hidupnya. Dalam kes ini, dianggap kedua-dua balu tadi telah menyerahkan atau menghibahkan bahagian mereka kepada anak-anak si mati.

(b)   Sekiranya ahli waris tidak bersetuju sama ada dari pihak anak ataupun balu, maka bahagian mereka yang tidak bersetuju itu dikekalkan. Hanya pihak-pihak yang bersetuju sahaja terlibat dalam serahan tersebut mengikut kadar bahagian mereka di dalam faraid.

(c)    Sekiranya pada mulanya semua bersetuju pada masa arwah masih hidup, kemudian selepas kematiannya, mereka tidak bersetuju, maka hendaklah semua ahli waris kembali kepada pembahagian secara faraid (undang-undang pusaka Islam)

Menyentuh perkara yang berkaitan dengan perbuatan melewat-lewatkan urusan, akan mengakibatkan kesusahan kepada ahli-ahli waris yang terlibat. Dalam sesetengah keadaan ia boleh menyebabkan berlakunya kezaliman dan penganiayaan. Sedangkan kezaliman itu amat dimurkai ALLAH SWT. Sehinggakan ALLAH SWT memberikan amaran yang amat keras dalam surah Al-Syu’ara, ayat 227 dengan firman-Nya yang bermaksud , “Dan (ingatlah) orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali.”

Apabila urusan sebegini ditangguhkan, ia akan menyebabkan kecenderungan untuk termakan harta ahli waris yang berhak. Contohnya terambil sewa daripada harta pusaka seperti rumah sewa atau premis kedai yang disewakan. Ataupun mungkin hasil daripada tanah lading yang menjadi sebahagian daripada harta pusaka.

Kemungkinan juga anak-anak yang ditinggalkan oleh arwah masih belum dewasa, maka mereka tergolong dari kalangan anak-anak yatim. Ingatlah amaran yang diberikan oleh ALLAH SWT dalam surah Al-Nisa, ayat 10 yang firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.”

Dalam keadaan isteri pertama yang belum lagi membuat permohonan untuk menguruskan tuntutan harta pusaka arwah, maka sebenarnya sesiapa sahaja daripada kalangan ahli waris boleh membuat permohonan tersebut termasuklah dalam kalangan ahli waris boleh membuat permohonan tersebut termasuklah dalam kalangan anak-anak arwah, isteri pertama ataupun isteri kedua si mati.

1 comment:

  1. The Best Casino Apps in Michigan - JSHub
    The Best Casino Apps in Michigan · 1. 강원도 출장샵 Drake Casino 안동 출장샵 · 충주 출장샵 2. PartyCasino · 바카라 사이트 3. Sloto Cash Casino · 속초 출장마사지 4. InterTops Casino · 5. Golden Nugget Casino.

    ReplyDelete