1. SUKA BERTANGGUH DAN BERLENGAH-LENGAH.
Terdapat anggapan ataupun stigma dalam sesetengah masyarakat Islam kita yang menyebabkan wujudnya sikap bertangguh dalam membuat tuntutan harta pusaka si mati iaitu “tanah kubur masih merah”, menyebabkan harta pusaka si mati tidak dibuat tuntutan segera untuk urusan pembahagian. Mereka beranggapan, tidak sopan dan beradab jika dalam waktu berkabung ada pihak yang ingin menguruskan harta pusaka si mati. Jika yang ingin berbuat demikian akan dipandang serong oleh ahli keluarga yang lain, dianggap tamak dan tidak berhati perut.
Ada sesetengah keadaan, waris yang berhak masih kecil semasa kematian ibu atau bapa mereka. Namun ironinya, urusan pembahagian harta pusaka masih tidak selesai walaupun mereka telah dewasa. Situasi akan bertambah buruk akibat sikap ini jika terdapat beberapa kematian ahli waris yang berhak (kematian berlapis). Hal ini menjadikan jumalah waris bertambah ramai dan rumit bagi menentukan hubungan nasab mereka untuk urusan pembahagian harta pusaka.
2. SIKAP AMBIL MUDAH
Sesetengah ahli waris terlalu mengambil mudah dan bersikap endah tak endah terhadap urusan menyelesaikan pembahagian harta pusaka khususnya harta tak alih. Bagi mereka , tak perlu terburu-buru selagi tidak ada perkara mendesak. Kadang-kadang mereka menggunakan alasan tidak ada masa kerana urusan kerja, urusan rumah tangga dan anak-anak, tinggal telalu jauh, sukar mendapat cuti dan sebagainya.
Namun lebih malang lagi jika ada pun pihak yang menguruskan harta pusaka tersebut ke Unit Pembahagian Pusaka JKPTG Daerah/Pejabat Tanah ataupun Mahkamah Syariah, mereka tidak menamakan ahli waris yang tepat. Sekiranya ada waris-waris yang meninggal dunia (selepas kematian si mati) mereka memasukkan nama kerana beranggapan waris tersebut tidak perlu mendapat harta pusaka tersebut dan patut ditinggalkan sahaja nama mereka, sedangkan waris-waris mereka berhak mewarisi bahagian mereka yang telah meninggal dunia tadi. Masalah ini sering timbul semasa hari perbicaraan.
3. PERBALAHAN DAN PERTELAGAHAN
Perbalahan dan pertelagahan yang wujud dalam kalangan waris-waris si mati juga akan menyulitkan dan menyukarkan urusan penyelesaian pembahagian harta pusaka. Perbalahan dan pertelagahan ini sama ada wujud semasa si mati masih hidup ataupu baru timbul selepas kematian si mati. Akibatnya, pihak-pihak yang terlibat tidak akan memberikan kerjasama yang baik kepada pihak yang akan melaksanakan urusan. Ada waris-waris yang berhak, yang enggan menghadiri perbicaraan. Ataupun ada waris yang sanggup bersumpah tidak mahu jumpa sesama waris akibat sesuatu perselisihan.
4. BERGANTUNG HARAP PADA PIHAK-PIHAK TERTENTU
Apabila berlaku sesuatu kematian, terdapat ahli-ahli waris yang terlalu bergantung harap pada seseorang dalam kalangan mereka untuk menyelesaikan urusan pembahagian pusaka dan biasanya meletakkan tanggungjawab tersebut di bahu anak sulung, sedangkan pihak yang diharapkan itu tidak mampu dari sudut masa ataupun pengetahuan. Lebih memburukkan keadaan jika mereka yang dipertanggungjawabkan ini mempunyai sikap berkira untuk menguruskan harta pusaka tersebut kerana urusan tersebut memerlukan belanja, sedangkan pihak yang lain hanya berdiam diri tanpa menghulurkan sebarang bantuan namun mereka tetap akan mendapat hasil mengikut pengiraan FARAID nanti. Hal ini pasti menjejaskan usaha untuk menguruskan pembahagian tersebut dengan cepat.
5. SIKAP TAMAK
Terdapat juga dalam kalangan waris-waris yang mempunyai perasaan tamak dan mementingkan diri. Dia ingin membolot semua harta pusaka si amti ataupun menginginkan bahagian yang lebih banyak daripada harta pusaka si mati berbanding ahli-ahli waris yang lain yang berhak dengan cara mengganggu-gugat (sabotaj) urusan penyelesaian pembahagian seperti menghilangkan atau gagal menyerahkan dokumen-dokumen penting untuk urusan tersebut. Antara keperluan-keperluan yang gagal ditunaikan atau dikemukakan oleh ahli waris berkaitan dengan dokumen ini ialah pembuktian surat kematian, pembuktian dokumen mengenai status waris seperti dokumen perkahwinan, perceraian, anak angkat, pertukaran agama, dokumen berkaitan hakmilik aset/harta serta liabiliti si mati dan lain-lain yang kesemuanya itu akan mengakibatkan urusan tersebut tergendala dan lambat selesai.
6. SIKAP CUAI AHLI WARIS
Sikap cuai ahli waris juga merupakan salah satu faktor yang turut menyumbang kepada kesulitan menguruskan harta pusaka. Antara sikap tersebut ialah kegagalan waris mengemukakan bukti kematian si mati disebabkan surat mati telah hilang atau mati di luar Malaysia. Selain itu sikap cuai waris dalam mengisi surat-surat penyerahan sebagaimana yang distaratkan menyebabkan maklumat yang diberikan tidak lengkap. Melambat-lambatkan penyerahan surat-surat untuk perbicaraan juga menyebabkan penyelesaian urusan pembahagian mengambil masa yang panjang.
7. SIKAP TIDAK MEMENTINGKAN PENGURUSAN HARTA SELEPAS KEMATIAN
Sikap tidak mahu mengambil tahu atau menitikberatkan hal-hal berkaitan dengan pengurusan harta selepas kematian si mati boleh mengakibatkan harta-harta yang diperolehinya semasa hidup hilang atau terpendam begitu sahaja. Situasi ini boleh terjadi sekiranya si amti mengumpul hartanya secara tersembunyi tanpa pengetahuan pasangannya termasuk ahli-ahli waris yang lain dan tidak menyenaraikan harta-harta tersebut. Begitu juga sekiranya si mati tidak menyenaraikan hutang-hutangnya beserta dokumen-dokumen terbabit sebagai pembuktian samada hutang kepada pihak lain (penghutang) ataupun pihak lain yang berhutang dengannya (pemiutang). Hal ini terbukti penting jika ada pihak-pihak tertentu yang mendakwa sebagai pemiutang membuat tuntutan kepada ahli waris yang sukar untuk dipastikan ketulenannya.
8. SIKAP TIDAK MAHU MEMPELAJARI ATAU TIDAK AMBIL TAHU UNDANG PUSAKA ISLAM
Kebanyakkan daripada ahli-ahli waris tidak mempunyai pengetahuan tentang undang-undang pusaka Islam. Masing-masing mempunyai pegangan dan cara perkiraan mengikut kepentingan sendiri yang jauh menyimpang daripada landasan syarak. Ada yang berpendapat aik-beradik yang sulung mesti mendapat bahagian yang paling besar sebab dia yang paling tua. Ada yang mendakwa pihak yang paling lama atau banyak menjaga ibu atau bapa mereka semasa dalam keadaan sakit itu berhak mendapat bahagian yang lebih besar ataupun wasi perlu menambah bahagian mereka berbanding dengan adik-beradik yang tidak menjaga ibu atau bapa mereka. Tidak kurang juga yang mendakwa bahawa “bahagian lelaki menyamai dua bahagian perempuan” adalah satu kenyataan yang tidak adil dan berbau penindasan ke atas kaum wanita. Itu semua adalah dakwaan mengikut rasional akal dan nafsu semata-mata sedangkan dalam hal ini, ALLAH SWT telah pun menegaskan dalam firman-Nya dalam Surah An-Nisa’ ayat 11 yang bermaksud:
“ALLAH PERINTAHKAN KAMU MENGENAI (PEMBAHAGAIAN HARTA PUSAKA UNTUK) ANAK- ANAK KAMU IAITU BAHAGIAN SEORANG ANAK LELAKI MENYAMAI BAHAGIAN DUA ORANG ANAK PEREMPUAN.”
Sehubungan dengan itu, ALLAH SWT memberikan peringatan melalui firman-Nya pada bahagian akhir ayat yang sama, mafhumnya:
“…(PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA DAN PENENTUAN BAHAGIAN MASING-MASING SEPERTI YANG DITERANGKAN ITUIALAH) KETTETAPAN DARI ALLAH. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENGETAHUI, KAGI AMAT BIJAKSANA.”
KESIMPULAN
Masyarakat Islam di Negara ini perlu mempunyai kesedaran yang menyeluruh untuk mengenal pasti.merawat dan menyembuhkan sikap-sikap negative berhubung dengan pengurusan pusaka ini dengan erteraskan kepada konsep tauhid dan menerima hakikat kedudukannya sebagai hamba allah yang mengikat keimanannya kepada penciptanya, demi meraih kemenangan di dunia juga akhirat.
Seorg wanita meninggal
ReplyDeleteAnak lelaki 2
Anak perempuan 4
Kakak kandung 1
Adik lelaki seibu 1
Adik perempuan seibu 3
Abg kandung meninggal
Anak2 abg kandung
Perempuan 4
Adik beradik sebapa
Lelaki 3
Perempuan 3