(Pemegang Amanah Dan Pentadbir Pusaka Bukan Pemilik Sebenar Pusaka)
Siapakah yang akan menjadi pemegang amanah bagi harta pusaka bahagian anak-anak? Sebagai contoh, seorang suami meninggal dunia, dia meninggalkan :
· Seorang isteri
· Empat orang anak perempuan (masih di bawah umur)
· Seorang ibu.
· Tiga adik beradik lelaki seibu sebapa.
· Harta yang ditinggalkan ;
o KWSP (Penama – ibu si mati)
o Rumah (yang diduduki oleh ibu, isteri bersama 4 anak perempuan si mati)
PEMEGANG AMANAH TIDAK BERHAK SEPENUHNYA KE ATAS PUSAKA
Dalam kes ini, orang yang layak menjadi pemegang amanah (dari kalangan waris yang berhak) ialah isteri si mati atau ibu si mati ataupun adik beradik lelaki si mati. Yang penting pemegang amanah hendaklah seorang yang proaktif , tahu menguruskan pusaka, bertanggungjawab dan amanah.
Selain meninggalkan waris-waris yang berhak, si mati juga meninggalkan beberapa jenis harta lain. Harta yang ditinggalkan itu agak tinggi nilaiannya iaitu wang simpanan KWSP dan juga sebuah rumah yang diduduki oleh si isteri bersama 4 orang anak perempuannya dan juga ibunya. Adik beradik lelaki si mati telah berkeluarga dan tinggal di rumah masing-masing.
PENAMA bagi KWSP si mati adalah ibu kepada si mati. Pada suatu hari ketiga-tiga beradik lelaki ini telah membawa si ibu ke pejabat KWSP berdekatan untuk membuat proses pengeluaran wang KWSP. Selang beberapa minggu, pihak KWSP menyerahkan sekeping cek atas nama si ibu. Setelah urusan selesai,cek tersebut ditunaikan. Lalu si ibu menyerahkan wang tersebut kepada ketiga-tiga beradik lelaki untuk dibahagikan kepada semua waris mengikut pembahagian yang sepatutnya.
Malangnya mereka hanya membahagikan wang tadi sesama mereka bertiga. Si ibu sebagai pemegang amanah pertama cuba berlaku amanah dengan menyerahkan amanah (wang tersebut) kepada tiga orang anak lelakinya. Tetapi rupanya pemegang amanah kedua tidak berlaku jujur dan amanah. Mereka mengkhianati amanah si mati, mereka menzalimi waris-waris yang lain. Dan mereka secara zalim membolot semua wang KWSP si mati. Sedangkan padanya ada hak waris-waris yang lain.
PENTADBIR PUSAKA
Untuk menyelesaikan kes rumah pusaka si mati, para waris hendaklah membuat urusan bicara kuasa di Pejabat Pusaka Kecil. Setelah membuat pengurusan bicara kuasa, keputusan pertama mereka bersetuju membahagikan nilai rumah pusaka arwah mengikut pembahagian FARAID.
Formula FARAID;
Ibu – 1/6, Isteri – 1/8, Anak perempuan – 2/3 & adik beradik lelaki – asobah(baki)
Kiraan FARAID;
1/6 + 1/8 + 2/3 = 4/24 + 3/24 + 16/24 = 23/24
Maka baki 1/24 (diberikan kepada adik beradik lelaki si mati.
Atau
· Ibu – 12/72 bahagian
· Isteri – 9/72 bahagian.
· Anak Perempuan – 12/72 bahagian seorang.
· Adik beradik Lelaki – 1/72 bahagian seorang.
Keputusan kedua, mereka bersetuju melantik tiga orang adik beradik lelaki si mati menjadi pentadbir pusaka atas rumah pusaka tersebut. Kerana si ibu telah tua, si isteri pula tidak tahu menahu tentang ilmu pengurusan, dan anak-anak perempuan pula masih kecil (di bawah umur).
Maka untuk memudahkan segala pengurusan adalah dengan melantik ketiga-tiga beradik tadi sebagai pentadbir pusaka si mati. Selang beberapa bulan Pejabat Pusaka mengeluarkan surat perintah pembahagian pusaka arwah untuk rumah tersebut. Yang mana pada surat perintah pembahagian pusaka tercatat nama ketiga-tiga beradik lelaki tadi sebagai pentadbir pusaka.
FITNAH PUSAKA
Rupa-rupanya surat tersebut member ruang kepada ketiga-tiga beradik untuk terus membuat khianat dan zalim kepada ibu, ipar dan juga anak-anak saudara mereka. Dengan surat tersebut mereka membuat konspirasi baru untuk membolot rumah pusaka si mati.
Mereka terus ke rumah pusaka arwah. Tanpa belas ihsan, mereka menhalau si ibu, ipar dan anak-anak saudara keluar dari rumah tersebut. Dengan suara yang tinggi mereka menyatakan bahawa rumah tersebut telah menjadi hak milik mereka bertiga. Buktinya adalah hanya nama mereka bertiga sahaja yang tercatat atas surat perintah tersebut. Sebenarnya mereka bertiga hanya pentadbir dan bukannya pemilik yang sebenar. Memang sungguh malang nasib si ibu, si isteri dan juga empat orang anak perempuan si mati. Mereka terpaksa menanggung kesusahan dan keperitan hidup keranan fitnah harta pusaka yang telah merasuk diri tiga beradik tadi.
PENTINGNYA MERANCANG PUSAKA
Bagaimana pentingnya menguruskan pusaka, begitu juga pentingnya merancang pusaka. Sekiranya arwah suami beringat-ingat dengan merancang pusaka semasa hidup, sudah pasti si ibu, si isteri dan empat orang anak perempuannya tidak akan dianiaya oleh adik beradiknya.
Sepatutnya semasa hidup dia menukar PENAMA KWSP daripada nama ibu kepada nama isterinya. Ini bermakna si isteri akan menjadi pemegang amanah atas nama wang KWSP selepas kematiannya. Dan sepatutnya juga semasa hidup dia boleh membuat dokumen HIBAH untuk menghibahkan rumahnya kepada isterinya dan keempat-empat anaknya dengan melantik isterinya sebagai pemegang amanah bagi hak anak-anaknya. Ini bermakna anak-anak perempuannya akan menerima hak mereka setelah mereka cukup umur dewasa kelak.
SEPANJANG HIDUP, KITA SENTIASA MERANCANG DALAM BANYAK PERKARA WALAUPUN KEBANYAKKANNYA TIDAK MENJADI. KERANA KITA MERANCANG PERKARA YANG BELUM PASTI.
TETAPI MATI ITU PASTI!
Bukankah ALLAH SWT berfirman; “Setiap yang bernyawa pasti akan mati.”
Oleh itu marilah merancang pusaka demi kebaikan waris-waris kita.
No comments:
Post a Comment