Wednesday, May 11, 2011

SIKAP NEGATIF BERHUBUNG PENGURUSAN PUSAKA



1.       SUKA BERTANGGUH DAN BERLENGAH-LENGAH.
Terdapat anggapan ataupun stigma dalam sesetengah masyarakat Islam kita yang menyebabkan wujudnya sikap bertangguh dalam membuat tuntutan harta pusaka si mati iaitu “tanah kubur masih merah”, menyebabkan harta pusaka si mati tidak dibuat tuntutan segera untuk urusan pembahagian. Mereka beranggapan, tidak sopan dan beradab jika dalam waktu berkabung ada pihak yang ingin menguruskan harta pusaka si mati. Jika yang ingin berbuat demikian akan dipandang serong oleh ahli keluarga yang lain, dianggap tamak dan tidak berhati perut.

Ada sesetengah keadaan, waris yang berhak masih kecil semasa kematian ibu atau bapa mereka. Namun ironinya, urusan pembahagian harta pusaka masih tidak selesai walaupun mereka telah dewasa. Situasi akan bertambah buruk akibat sikap ini jika terdapat beberapa kematian ahli waris yang berhak (kematian berlapis). Hal ini menjadikan jumalah waris bertambah ramai dan rumit bagi menentukan hubungan nasab mereka untuk urusan pembahagian harta pusaka.


2.       SIKAP AMBIL MUDAH
Sesetengah ahli waris terlalu mengambil mudah dan bersikap endah tak endah terhadap urusan menyelesaikan pembahagian harta pusaka khususnya harta tak alih. Bagi mereka , tak perlu terburu-buru selagi tidak ada perkara mendesak. Kadang-kadang mereka menggunakan alasan tidak ada masa kerana urusan kerja, urusan rumah tangga dan anak-anak, tinggal telalu jauh, sukar mendapat cuti dan sebagainya.

Namun lebih malang lagi jika ada pun pihak yang menguruskan harta pusaka tersebut ke Unit Pembahagian Pusaka JKPTG Daerah/Pejabat Tanah ataupun Mahkamah Syariah, mereka tidak menamakan ahli waris yang tepat. Sekiranya ada waris-waris yang meninggal dunia (selepas kematian si mati) mereka memasukkan nama kerana beranggapan waris tersebut tidak perlu mendapat harta pusaka tersebut dan patut ditinggalkan sahaja nama mereka, sedangkan waris-waris mereka berhak mewarisi bahagian mereka yang telah meninggal dunia tadi. Masalah ini sering timbul semasa hari perbicaraan.


3.       PERBALAHAN DAN PERTELAGAHAN
Perbalahan dan pertelagahan yang wujud dalam kalangan waris-waris si mati juga akan menyulitkan dan menyukarkan urusan penyelesaian pembahagian harta pusaka. Perbalahan dan pertelagahan ini sama ada wujud semasa si mati masih hidup ataupu baru timbul selepas kematian si mati. Akibatnya, pihak-pihak yang terlibat tidak akan memberikan kerjasama yang baik kepada pihak yang akan melaksanakan urusan. Ada waris-waris yang berhak, yang enggan menghadiri perbicaraan. Ataupun ada waris yang sanggup bersumpah tidak mahu jumpa sesama waris akibat sesuatu perselisihan.


4.       BERGANTUNG HARAP PADA PIHAK-PIHAK TERTENTU
Apabila berlaku sesuatu kematian, terdapat ahli-ahli waris yang terlalu bergantung harap pada seseorang dalam kalangan mereka untuk menyelesaikan urusan pembahagian pusaka dan biasanya meletakkan tanggungjawab tersebut di bahu anak sulung, sedangkan pihak yang diharapkan itu tidak mampu dari sudut masa ataupun pengetahuan. Lebih memburukkan keadaan jika mereka yang dipertanggungjawabkan ini mempunyai sikap berkira untuk menguruskan harta pusaka tersebut kerana urusan tersebut memerlukan belanja, sedangkan pihak yang lain hanya berdiam diri tanpa menghulurkan sebarang bantuan namun mereka tetap akan mendapat hasil mengikut pengiraan FARAID nanti. Hal ini pasti menjejaskan usaha untuk menguruskan pembahagian tersebut dengan cepat.


5.       SIKAP TAMAK
Terdapat juga dalam kalangan waris-waris yang mempunyai perasaan tamak dan mementingkan diri. Dia ingin membolot semua harta pusaka si amti ataupun menginginkan bahagian yang lebih banyak daripada harta pusaka si mati berbanding ahli-ahli waris yang lain yang berhak dengan cara mengganggu-gugat (sabotaj) urusan penyelesaian pembahagian seperti menghilangkan atau gagal menyerahkan dokumen-dokumen penting untuk urusan tersebut. Antara keperluan-keperluan yang gagal ditunaikan atau dikemukakan oleh ahli waris berkaitan dengan dokumen ini ialah pembuktian surat kematian, pembuktian dokumen mengenai status waris seperti dokumen perkahwinan, perceraian, anak angkat, pertukaran agama, dokumen berkaitan hakmilik aset/harta serta liabiliti si mati dan lain-lain yang kesemuanya itu akan mengakibatkan urusan tersebut tergendala dan lambat selesai.

6.       SIKAP CUAI AHLI WARIS
Sikap cuai ahli waris juga merupakan salah satu faktor yang turut menyumbang kepada kesulitan menguruskan harta pusaka. Antara sikap tersebut ialah kegagalan waris mengemukakan bukti kematian si mati disebabkan surat mati telah hilang atau mati di luar Malaysia. Selain itu sikap cuai waris dalam mengisi surat-surat penyerahan sebagaimana yang distaratkan menyebabkan maklumat yang diberikan tidak lengkap. Melambat-lambatkan penyerahan surat-surat untuk perbicaraan juga menyebabkan penyelesaian urusan pembahagian mengambil masa yang panjang.

7.       SIKAP TIDAK MEMENTINGKAN PENGURUSAN HARTA SELEPAS KEMATIAN
Sikap tidak mahu mengambil tahu atau menitikberatkan hal-hal berkaitan dengan pengurusan harta selepas kematian si mati boleh mengakibatkan harta-harta yang diperolehinya semasa hidup hilang atau terpendam begitu sahaja. Situasi ini boleh terjadi sekiranya si amti mengumpul hartanya secara tersembunyi tanpa pengetahuan pasangannya  termasuk ahli-ahli waris yang lain dan tidak menyenaraikan harta-harta tersebut. Begitu juga sekiranya si mati tidak menyenaraikan hutang-hutangnya beserta dokumen-dokumen terbabit sebagai pembuktian samada hutang kepada pihak lain (penghutang) ataupun pihak lain yang berhutang dengannya (pemiutang). Hal ini terbukti penting jika ada pihak-pihak tertentu yang mendakwa sebagai pemiutang membuat tuntutan kepada ahli waris yang sukar untuk dipastikan ketulenannya.

8.       SIKAP TIDAK MAHU MEMPELAJARI ATAU TIDAK AMBIL TAHU UNDANG PUSAKA ISLAM
Kebanyakkan daripada ahli-ahli waris tidak mempunyai pengetahuan tentang undang-undang pusaka Islam. Masing-masing mempunyai pegangan dan cara perkiraan mengikut kepentingan sendiri yang jauh menyimpang daripada landasan syarak. Ada yang berpendapat aik-beradik yang sulung mesti mendapat bahagian yang paling besar sebab dia yang paling tua. Ada yang mendakwa pihak yang paling lama atau banyak menjaga ibu atau bapa mereka semasa dalam keadaan sakit itu berhak mendapat bahagian yang lebih besar ataupun wasi perlu menambah bahagian mereka berbanding dengan adik-beradik yang tidak menjaga ibu atau bapa mereka. Tidak kurang juga yang mendakwa bahawa “bahagian lelaki menyamai dua bahagian perempuan” adalah satu kenyataan yang tidak adil dan berbau penindasan ke atas kaum wanita. Itu semua adalah dakwaan mengikut rasional akal dan nafsu  semata-mata sedangkan dalam hal ini, ALLAH SWT telah pun menegaskan dalam firman-Nya dalam Surah An-Nisa’ ayat 11 yang bermaksud:

“ALLAH PERINTAHKAN KAMU MENGENAI (PEMBAHAGAIAN HARTA PUSAKA UNTUK) ANAK- ANAK KAMU IAITU BAHAGIAN SEORANG ANAK LELAKI MENYAMAI BAHAGIAN DUA ORANG ANAK PEREMPUAN.”

Sehubungan dengan itu, ALLAH SWT memberikan peringatan melalui firman-Nya pada bahagian akhir ayat yang sama, mafhumnya:

“…(PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA DAN PENENTUAN BAHAGIAN MASING-MASING SEPERTI YANG DITERANGKAN ITUIALAH) KETTETAPAN DARI ALLAH. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENGETAHUI, KAGI AMAT BIJAKSANA.”


KESIMPULAN
Masyarakat Islam di Negara ini perlu mempunyai kesedaran yang menyeluruh untuk mengenal pasti.merawat dan menyembuhkan sikap-sikap negative berhubung dengan pengurusan pusaka ini dengan  erteraskan kepada konsep tauhid dan menerima hakikat kedudukannya sebagai hamba allah yang mengikat keimanannya kepada penciptanya, demi meraih kemenangan di dunia juga akhirat.

Sunday, May 8, 2011

PEMEGANG AMANAH YANG MENCABUL AMANAH!

(Pemegang Amanah Dan Pentadbir Pusaka Bukan Pemilik Sebenar Pusaka)
Siapakah yang akan menjadi pemegang amanah bagi harta pusaka bahagian anak-anak? Sebagai contoh, seorang suami meninggal dunia, dia meninggalkan :
·         Seorang isteri
·         Empat orang anak perempuan (masih di bawah umur)
·         Seorang ibu.
·         Tiga adik beradik lelaki seibu sebapa.
·         Harta yang ditinggalkan ;
o   KWSP (Penama – ibu si mati)
o   Rumah (yang diduduki oleh ibu, isteri bersama 4 anak perempuan si mati)

PEMEGANG AMANAH TIDAK BERHAK SEPENUHNYA KE ATAS PUSAKA

Dalam kes ini, orang yang layak menjadi pemegang amanah (dari kalangan waris yang berhak) ialah isteri si mati atau ibu si mati ataupun adik beradik lelaki si mati. Yang penting pemegang amanah hendaklah seorang yang proaktif , tahu menguruskan pusaka, bertanggungjawab dan amanah.

Selain meninggalkan waris-waris yang berhak, si mati juga meninggalkan beberapa jenis harta lain. Harta yang ditinggalkan itu agak tinggi nilaiannya iaitu wang simpanan KWSP dan juga sebuah rumah yang diduduki oleh si isteri bersama 4 orang anak perempuannya dan juga ibunya. Adik beradik lelaki si mati telah berkeluarga dan tinggal di rumah masing-masing.

PENAMA bagi KWSP si mati adalah ibu kepada si mati. Pada suatu hari ketiga-tiga beradik lelaki ini telah membawa si ibu ke pejabat KWSP berdekatan untuk membuat proses pengeluaran wang KWSP. Selang beberapa minggu, pihak KWSP menyerahkan sekeping cek atas nama si ibu. Setelah urusan selesai,cek tersebut ditunaikan. Lalu si ibu menyerahkan wang tersebut kepada ketiga-tiga beradik lelaki untuk dibahagikan kepada semua waris mengikut pembahagian yang sepatutnya.

Malangnya mereka hanya membahagikan wang tadi sesama mereka bertiga. Si ibu sebagai pemegang amanah pertama cuba berlaku amanah dengan menyerahkan amanah (wang tersebut) kepada tiga orang anak lelakinya. Tetapi rupanya pemegang amanah kedua tidak berlaku jujur dan amanah. Mereka mengkhianati amanah si mati, mereka menzalimi waris-waris yang lain. Dan mereka secara zalim membolot semua wang KWSP si mati. Sedangkan padanya ada hak waris-waris yang lain.

PENTADBIR PUSAKA

Untuk menyelesaikan kes rumah pusaka si mati, para waris hendaklah membuat urusan bicara kuasa di Pejabat Pusaka Kecil. Setelah membuat pengurusan bicara kuasa, keputusan pertama mereka bersetuju membahagikan nilai rumah pusaka arwah mengikut pembahagian FARAID.

Formula FARAID;
Ibu – 1/6, Isteri – 1/8, Anak perempuan – 2/3 & adik beradik lelaki – asobah(baki)

Kiraan FARAID;
1/6 + 1/8 + 2/3 = 4/24 + 3/24 + 16/24 = 23/24
Maka baki 1/24 (diberikan kepada adik beradik lelaki si mati.

Atau

·         Ibu – 12/72 bahagian
·         Isteri  – 9/72 bahagian.
·         Anak Perempuan – 12/72 bahagian seorang.
·         Adik beradik Lelaki – 1/72 bahagian seorang.

Keputusan kedua, mereka bersetuju melantik tiga orang adik  beradik lelaki si mati menjadi pentadbir pusaka atas rumah pusaka tersebut. Kerana si ibu telah tua, si isteri pula tidak tahu menahu tentang ilmu pengurusan, dan anak-anak perempuan pula masih kecil (di bawah umur).

Maka untuk memudahkan segala pengurusan adalah dengan melantik ketiga-tiga beradik tadi sebagai pentadbir pusaka si mati. Selang beberapa bulan Pejabat Pusaka mengeluarkan surat perintah pembahagian pusaka arwah untuk rumah tersebut. Yang mana pada surat perintah pembahagian pusaka tercatat nama ketiga-tiga beradik lelaki tadi sebagai pentadbir pusaka.


FITNAH PUSAKA

Rupa-rupanya surat tersebut member ruang kepada ketiga-tiga beradik untuk terus membuat khianat dan zalim kepada ibu, ipar dan juga anak-anak saudara mereka. Dengan surat tersebut mereka membuat konspirasi baru untuk membolot rumah pusaka si mati.

Mereka terus ke rumah pusaka arwah. Tanpa belas ihsan, mereka menhalau si ibu, ipar dan anak-anak saudara keluar dari rumah tersebut. Dengan suara yang tinggi mereka menyatakan bahawa rumah tersebut telah menjadi hak milik mereka bertiga. Buktinya adalah hanya nama mereka bertiga sahaja yang tercatat atas surat perintah tersebut. Sebenarnya mereka bertiga hanya pentadbir dan bukannya pemilik yang sebenar. Memang sungguh malang nasib si ibu, si isteri dan juga empat orang anak perempuan si mati. Mereka terpaksa menanggung kesusahan dan keperitan hidup keranan fitnah harta pusaka yang telah merasuk diri tiga beradik tadi.


PENTINGNYA MERANCANG PUSAKA

Bagaimana pentingnya menguruskan pusaka, begitu juga pentingnya merancang pusaka. Sekiranya arwah suami beringat-ingat dengan merancang pusaka semasa hidup, sudah pasti si ibu, si isteri dan empat orang anak perempuannya tidak akan dianiaya oleh adik beradiknya.

Sepatutnya semasa hidup dia menukar PENAMA KWSP daripada nama ibu kepada nama isterinya. Ini bermakna si isteri akan menjadi pemegang amanah atas nama wang KWSP selepas kematiannya. Dan sepatutnya juga semasa hidup dia boleh membuat dokumen HIBAH untuk menghibahkan rumahnya kepada isterinya dan keempat-empat anaknya  dengan melantik isterinya sebagai pemegang amanah bagi hak anak-anaknya. Ini bermakna anak-anak perempuannya akan menerima hak mereka  setelah mereka cukup umur dewasa kelak.

SEPANJANG HIDUP, KITA SENTIASA MERANCANG DALAM BANYAK PERKARA WALAUPUN KEBANYAKKANNYA TIDAK MENJADI. KERANA KITA MERANCANG PERKARA YANG BELUM PASTI.
TETAPI MATI ITU PASTI!

Bukankah ALLAH SWT berfirman; “Setiap yang bernyawa pasti akan mati.”
Oleh itu marilah merancang pusaka demi kebaikan waris-waris kita.

Saturday, May 7, 2011

BILA PENAMA MEMBOLOT HARTA

FITNAH HARTA
Bila tidak ramai yang tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu tentang Ilmu FARAID, maka berlakulah apa yang telah berlaku hari ini seperti perebutan harta pusaka. Inilah yang dikatakan FITNAH harta pusaka . Hal ini pernah dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud:
“Pelajarilah Al-Quran serta ajarkan ianya kepada orang lain dan pelajarilah ilmu FARAID serta ajarkan kepada ianya kepada orang lain. Kerana sesungguhnya aku ini akan dicabut nyawa (mati) dan ilmu tersebut akan juga akan dicabut oleh ALLAH SWT. Lalu akan timbullah FITNAH harta (huru-hara) sehingga nanti akan ada dikalangan dua orang yang berselisihan tentang pembahagian harta pusaka dan mereka sendiri tidak tahu siapakah yang akan dapat menyelesaikan masalah mereka.” (Riwayat Al-Hakim, Al-Baihaqi dari Abdullah Ibn Mas’ud)


PENAMA MEMBOLOT HARTA
Mari Kita fahami kisah ini – Ada seorang datuk telah membolot semua harta pusaka anaknya yang berjumlah hampir RM500,000. Si datuk tadi tidak mahu menyerahkan bahagian pusaka kepada cucu-cucu dan menantunya. Bahkan beliau menggunakan wang tersebut untuk perbelanjaan menunaikan haji dan umrah sebanyak beberapa kali.
Bila ditanyakan mengapa beliau tidak mahu menyerahkan bahagian pusaka cucu-cucu dan menantunya? Jawabnya ialah kerana dia  adalah PENAMA bagi keseluruhan harta anak lelakinya seperti duit simpanan KWSP, insuran dan lain-lain.
Untuk makluman si datuk itu juga merupakan seorang imam masjid. FITNAH harta pusaka tidak mengenali sesiapa. Sesiapa yang tidak mempunyai ilmu berkenaan, memang mudah untuk terpedaya.
Memang realiti hari ini, ramai PENAMA yang membolot harta pusaka si mati dan tidak mahu menyerahkan bahagian tertentu kepada waris-waris yang berhak. Mengapa? Kerana mereka menyangkakan harta si mati telah menjadi milik mereka dengan hanya sebab PENAMA sahaja.
JAWATANKUASA FATWA MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL AGAMA TAHUN 1973, dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-96 yang diadakan pada 20hb September 1973, telah memberikan pendapat dan dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja;

“PENAMA-PENAMA KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA (KWSP), WANG SIMPANAN PEJABAT POS, BANK, INSURANS DAN SYARIKAT KERJASAMA ADALAH SEBAGAI ORANG YANG MELAKSANAKAN WASIAT SI MATI ATAU WASI. MEREKA BOLEH MENERIMA WANG SI MATI DARIPADA SUMBER TERSEBUT UNTUK DIBAHAGIKAN KEPADA ORANG YANG BERHAK MENURUT PEMBAHAGIAN FARAID.”

WASI adalah pentadbir ataupun pemegang amanah. Bermakna sesiapa yang dinamakan sebagai PENAMA di KWSP (contohnya suami-isteri). Bilamana pemilik KWSP tersebut meninggal dunia, maka PENAMA boleh terus pergi ke mana pejabat KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA (KWSP) untuk membuat pengeluaran.
Setelah menerima wang tersebut, si PENAMA hanya boleh mengambil sejumlah wang untuk kos pengurusan yang berpatutan, dan selebihnya hendaklah dibahagikan kepada waris yang ada, menurut hukum FARAID ataupun menurut persetujuan bersama (muafakat).
Yang jelas, mereka tidak boleh membolot harta tersebut. Kerana mereka hanya sebagai Pentadbir ataupun Pemegang Amanah sahaja.

Thursday, May 5, 2011

JANGAN BIARKAN WARIS KITA BERBUAT DOSA!




Al-Kisahnya, seorang suami meninggal dunia, dan meninggalkan;
·         Seorang ibu
·         Seorang bapa
·         Seorang isteri
·         Seorang anak lelaki
·         Dua orang anak perempuan.
Selain meninggalkan waris, si mati juga ada meninggalkan hutang yang agak besar jumlahnya. Sedangkan harta yang ditinggalkan tidak seberapa, iaitu sejumlah wang simpanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).
Situasi yang memeningkan kepala…setiap hari  pihak bank dan para pemiutang tidak putus-putus menelefon ke rumah ibu bapa si mati untuk menuntut tunggakan hutang si mati. Si isteri pula runsing memikirkan cara untuk menampung perbelanjaan dan keperluan hidup seharian. Si isteri juga runsing memikirkan masa depan anak-anak.
KWSP…ISTERI SEBAGAI PENAMA
Akhirnya isteri teringat bahawa semasa hidup, suaminya ada memberitahu bahawa dia adalah sebagai PENAMA di KWSP. Maka si isteri punterus membuat urusan untuk mengeluarkan wang di KWSP. Tidak sampai sebulan, wang KWSP peninggalan arwah suami dipindahkan ke akaun si isteri.
Apabila menerima wang tersebut, si isteri terus menggunakannya untuk menampung perbelanjaan seharian seperti makan-minum sekeluarga dan juga biaya persekolahan anak-anak. Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh si isteri tadi adalah suatu yang baik dan wajar. Iaitu wang peninggalan arwah suami digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga dan juga biaya persekolahan anak-anak. Memang ini suatu yang baik & wajar . Walaupun ianya baik & wajar, sebenarnya tanpa disedari si isteri telah berbuat beberapa dosa.
APAKAH DOSA-DOSA ITU???
DOSA MEMAKAN HAK SI MATI
Perkara utama yang mesti diselesaikan oleh waris menggunakan harta yang ditinggalkan oleh si mati ialah untuk melunaskan hutang-hutang si mati. Sama ada hutang dengan ALLAH seperti haji, zakat, nazar, katidak mahu melunaskan hutang-hutang si mati farrah dan seumpamanya atau hutang sesame manusia, khususnya hutang si mati dengan pihak bank dan lain-lain.
Masalahnya perkara itu tidak dilakukan oleh si isteri. Bukannya si isteri tidak mahu melunaskan hutang-hutang si mati. Andaikata si isteri melunaskan hutang-hutang si mati, kemungkinan besar waris tidak memiliki apa-apa bahagian. Sedangkan mereka terpaksa menyara kehidupan.
Sebenarnya selagi hutang si mati tidak dilunaskan, maka selagi itulah si mati akan merana di alam barzakh. Rasulullah SAW menegaskan dalam sabdanya yang bermaksud : “Jiwa seseorang Mukmin itu tergantung dengan hutangnya, sehingga hutang itu dilunasi.” (Riwayat Ahmad,Hajar dan Al-Tirmizi)
Ini bermakna waris bukan sahaja berbuat dosa, bahkan harta yang dimakan tidak bersih kerana ada hak si mati yang masih belum dilunaskan.


DOSA MEMAKAN HARTA SECARA BATIL
Selain itu, pada harta yang ditinggalkan oleh si mati ada bahagian ibu bapa. Walaupun tidak banyak, bahagian tersebut adalah hak yang mesti diserahkan kepada ibu bapa. Seandainya si isteri tidak mahu menyerahkan bahagian ibu bapa – sama ada dia tahu ataupun tidak, lebih-lebih lagi jika tidak dipersetujui oleh ibu bapa si mati – maka sesungguhnya harta yang dimakan oleh si isteri adalah harta yang tidak bersih. Hal ini kerana di situ masih ada hak ibu bapa , sedangkan dalam masa yang sama si isteri telah berbuat dosa memakan bahagian ibu dan bapa si mati.
Sesungguhnya ALLLAH SWT telah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu memakan harta di antara kamu dengan cara yang batil (haram & tidak betul).” Surah Al-Nisa,ayat 26)

DOSA MEMAKAN HARTA ANAK YATIM
Perkara yang ketiga yang perlu difahami bahawa pada harta si mati juga ada hak anak-anak. Walaupun harta peninggalan si mati digunakan untuk menampung perbelanjaan seharian anak-anak, namun hak tersebut hendaklah terlebih dahulu dikeluarkan ataupun diasingkan. Yang terbaik disimpan untuk masa depan mereka.
Andaikata harta tersebut digunakan untuk menyara anak-anak, maka hendaklah dihitamputihkan agar nanti tidak menjadi pertikaian malah boleh dijelaskan kemudian hari. Sekiranya perkara ini tidak dilakukan oleh si isteri dan si isteri tidak mahu mengasingkan bahagian anak-anak, nanti harta yang ditinggalkan si mati tidak cukup untuk menampung kos kehidupan.
Namun demikian, sesungguhnya si isteri telah berbuat dosa . Iaitu dosa memakan harta anak yatim. Sesungguhnya ALLAH SWT menegaskan dalam firman-NYA yang bermaksud: “Sesungguhnya  orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.” (Surah Al-Nisa, ayat 10)

SAMA-SAMA KITA BERINGAT…
Oleh sebab itu, semasa hidup hendaklah kita sama-sama beringat. Rancanglah apa yang perlu kita rancang. Andainya kita punyai banyak hutang, maka berusahalah untuk melunaskan hutang-hutang semasa hidup. Selain itu, ambillah polisi takaful. Antara tujuannya untuk melunaskan baki hutang-hutang selepas kematian kita. Selebihnya boleh diwariskan untuk perbelanjaan hidup anak-anak.
Buatlah Dokumen Pewarisan Harta, yang digunakan untuk memaklumkan kepada isteri ataupun suami perkara-perkara yang perlu dilakukan selepas kematian kita, seperti mengumpulkan harta-harta peninggalan kita, buatlah apa-apa urusan dengan pihak berkenaan untuk menyelesaikan urusan pusaka kita. Bayarkan hutang-hutang kita seperti yang tercatat dalam dokumen pewarisan harta, selebihnya berikan hak waris-waris…untuk ibu bapa sekian jumlahnya, untuk anak-anak sekian jumlahnya – iku pembahagian faraid seperti yang dicatatkan dalam dokumen pewarisan harta.
Mudah-mudahan dengan cara ini kita yang telah meninggal dunia terlepas daripada berbagai azab seksa di alam barzakh. Pada masa yang sama, seluruh waris kita juga turut terselamat daripada berbuat dosa, seperti dosa memakan hak si mati, dosa memakan harta secara batil dan dosa memakan harta anak yatim.

TIADA WASIAT KPD WARIS!..MENGAPA?




Q.Si mati(suami) meninggalkan wasiat bahawa harta yang ditinggalkan hendaklah dibahagikan kepada anak-anaknya baik dari isteri yang pertama mahupun isteri yang kedua. Disamping itu juga segala urusan pengurusan pusaka hendaklah dilaksanakan oleh isteri yang pertama.
Dalam permasalahan ini, wasiat tersebut wujud tetapi ianya ditujukan kepada ahli waris. Perlu dijelaskan disini, wasiat sebegini sekalipun tidak dilakukan, anak-anak tetap mendapat bahagian bahkan ia dijamin oleh syarak.

Pada dasarnya, wasiat yang dibuat semasa hayat seseorang adalah untuk diberikan kepada ahli keluarga yang tidak berada dalam senarai ahli waris seperti anak angkat yang dibela sejak kecil, orang yang paling rapat yang sentiasa menolong arwh semasa susah, orang yang menjadi kepercayaan sejak sekian lama ataupun individu tertentu yang kewujudannya amat dihargai semasa si mati hidup. Baginda Rasulullah SAW menegaskan bahawa peruntukkan wasiat adalah tidak melebihi satu pertiga daripada keseluruhan harta yang dimiliki oleh si mati.

Ini selaras dengan dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Tirmizi yang antaranya bermaksud, “ Sesungguhnya ALLAH SWT telah memberikan kepada setiap orang yang berhak itu akan haknya. Maka tidak boleh berwasiat kepada ahli waris.”

Jumhur fuqaha berpendapat hukum berwasiat kepada ahli waris adalah tidak sah melainkan jika mendapat persetujuan daripada kalangan semua ahli waris. Wasiat tersebut dikira “mauqufah” kerana ia tertakluk kepada persetujuan ahli-ahli waris yang lain. Dan persetujuan yang diberikan itu hendaklah diberikan selepas kematian pewasiat di samping ahli-ahli waris tersebut  yang mempunyai kelayakan iaitu berakal, baligh dan cerdik.

Dalam masalah diatas, arwah meninggalkan dua orang balu bersama anak-anak (tidak dinyatakan berapa orang daripada isteri pertama dan kedua). Justeru wasiat tersebut adalah tidak sah, melainkan jika mendapat persetujuan daripada semua ahli waris yang berhak kepada harta tersebut termasuk 2 orang balu tersebut. Dalam keadaan ini terdapat 3 andaian dalam keadaan seperti ini, iaitu;

(a)    Sekiranya semua ahli waris seperti yang dinyatakan sebelum ini bersetuju  atau bermuafakat (anak-anak dan balu-balu), maka bolehlah harta tersebut diberikan kepada anak-anak arwah mengikut wasiat si mati. Persetujuan tersebut pula dibuat selepas empunya harta ( si arwah) meninggal dunia bukan semasa hidupnya. Dalam kes ini, dianggap kedua-dua balu tadi telah menyerahkan atau menghibahkan bahagian mereka kepada anak-anak si mati.

(b)   Sekiranya ahli waris tidak bersetuju sama ada dari pihak anak ataupun balu, maka bahagian mereka yang tidak bersetuju itu dikekalkan. Hanya pihak-pihak yang bersetuju sahaja terlibat dalam serahan tersebut mengikut kadar bahagian mereka di dalam faraid.

(c)    Sekiranya pada mulanya semua bersetuju pada masa arwah masih hidup, kemudian selepas kematiannya, mereka tidak bersetuju, maka hendaklah semua ahli waris kembali kepada pembahagian secara faraid (undang-undang pusaka Islam)

Menyentuh perkara yang berkaitan dengan perbuatan melewat-lewatkan urusan, akan mengakibatkan kesusahan kepada ahli-ahli waris yang terlibat. Dalam sesetengah keadaan ia boleh menyebabkan berlakunya kezaliman dan penganiayaan. Sedangkan kezaliman itu amat dimurkai ALLAH SWT. Sehinggakan ALLAH SWT memberikan amaran yang amat keras dalam surah Al-Syu’ara, ayat 227 dengan firman-Nya yang bermaksud , “Dan (ingatlah) orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali.”

Apabila urusan sebegini ditangguhkan, ia akan menyebabkan kecenderungan untuk termakan harta ahli waris yang berhak. Contohnya terambil sewa daripada harta pusaka seperti rumah sewa atau premis kedai yang disewakan. Ataupun mungkin hasil daripada tanah lading yang menjadi sebahagian daripada harta pusaka.

Kemungkinan juga anak-anak yang ditinggalkan oleh arwah masih belum dewasa, maka mereka tergolong dari kalangan anak-anak yatim. Ingatlah amaran yang diberikan oleh ALLAH SWT dalam surah Al-Nisa, ayat 10 yang firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.”

Dalam keadaan isteri pertama yang belum lagi membuat permohonan untuk menguruskan tuntutan harta pusaka arwah, maka sebenarnya sesiapa sahaja daripada kalangan ahli waris boleh membuat permohonan tersebut termasuklah dalam kalangan ahli waris boleh membuat permohonan tersebut termasuklah dalam kalangan anak-anak arwah, isteri pertama ataupun isteri kedua si mati.

Tuesday, May 3, 2011

SALAH FAHAM MENGENAI WASIAT!



PERTAMA: WASIAT KEPADA AHLI WARIS YANG BERHAK MENDAPAT PUSAKA
CONTOH DIALOG:
Abu merupakan bapa kepada Kasim, Ali dan Fatimah. Dengan menjengilkan mata tepat kea rah Kasim dan Ali, beliau berkata: “Aku wasiatkan tanah kebun ditepi sungai kepada adik bangsu kamu, Fatimah!...setuju atau tidak?” Mereka pun menjawabdengan nada lemah, “Kami setuju.” Sambil menundukkan muka ke lantai tanda tidak puas hati.
Terdapat sesetengah orang Islam yang berpegang kepada amalan berwasiat kepada ahli waris yang berhak mendapat pusaka sedangkan mereka mendapat jaminan hak dalam pusaka si mati sebagaimana yang telah ditetapkan dalam faraid.
Sebenarnya asas wasiat yang dibuat semasa hayat seseorang adalah untuk  diberikan kepada ahli keluarga yang tidak tersenarai sebagai ahli waris seperti anak angkat yang dibela sejak kecil ataupun orang orang yang paling rapat (bukan waris) yang sentiasa menolong arwah semasa susah dan lain-lain.
Dalam hal ini, jumhur fuqaha berpendapat bahawa hukum berwasiat kepada ahli waris adalah tidak sah melainkan jika mendapat persetujuan daripada kalangan semua ahli waris. Wasiat tersebut dikira “mauqufah” kerana ia tertakluk kepada persetujuan ahli-ahli waris yang lain. Adapun persetujuan dan keizinan yang diberikan selepas kematian pewasiat bukan semasa hidupnya.
Kedudukan ini dikukuhkan lagi melalui hadis Rasulullah SAW itu yang bermaksud: “Telah menceritakan kepada kami oleh Abd al-Wahhab Ibn Najdah, telah menceritakan kepada kami oleh Ibn Ayyash, daripada Shurahbil Ibn Muslim, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH menetapkan hak bagi setiap empunya, oleh itu tidak harus berwasiat kepada ahli waris.”(Riwayat Al-Baihaqi no.12321)

KEDUA: MEWASIATKAN KESELURUHAN ATAUPUN LEBIH DARIPADA SEPERTIGA HARTA
CONTOH DIALOG:
Mak Timah telah lama kematian suaminya berkata kepada dua anak lelakinya, “Abdul Wahab dan Abdul Wahib, rumah pusaka yang didiami sekarang ini aku wasiatkan kepada Abdul Wahub yang telah menjaga sakit pening aku selama ini semenjak kamu pergi ke Kuala Lumpur .” Abdul Wahub adalah anak angkat yang telah tinggal bersamanya selama lebih 18 tahun.
Berhubung dengan amalan mewasiatkan keseluruhan harta ataupun lebih daripada sepertiga harta kepada seseorang ini memang banyak berlaku dalam kalangan masyarakat Islam. Mereka ini mahu agar harta tersebut hanya dimiliki oleh individu yang disukainya semasa hidup diatas sebab-sebab tertentu. Kadar harta yang boleh diwasiatkan oleh pewasiat menurut ketentuan syarak adalah setakat 1/3 sahaja daripada harta bersihnya. Iaitu harta  yang masih ada semasa kematiannya setelah digunakan untuk perbelanjaan pengebumian dan melangsaikan hutang-hutangnya jika ada.
Jadi, tidak sah berwasiat melebihi kadar 1/3 harta yang dibenarkan kecuali waris-waris yang berhak bersetuju. Ia bertujuan untuk memelihara kebajikan waris-waris pewasiat yang berhak ke atas harta peninggalan tersebut.
Saad Bin Abu Waqqas berkata telah datang Rasulullah SAW untuk melihatku sedang aku berada di Makkah. Aku berkata , “Ya Rasulullah, apakah aku harus mewasiatkan semua hartaku?” Baginda menjawab : “Tidak.”
Aku berkata : “Sebahagiannya?” Baginda menjawab : “Tidak.”
Aku berkata lagi : “Sepertiga?” Baginda menjawab : “Ya! Sepertiga. Dan sepertiga itu masih banyak. Sesungguhnya apabila engkau meninggalkan ahli waris kaya itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka miskin, meminta-minta kepada manusia dengan tangan mereka.”


KETIGA: WASIAT YANG BERCANGGAH DENGAN FARAID
CONTOH DIALOG:
Tuan Haji Labu, orang kaya Kampung Pinang Sebatang berkata. “Aku wasiatkan supaya kamu bahagikan harta-hartaku ini sama rata kepada semua anakku.” Pesannya kepada adiknya Tuan Haji Labi sambil memandang kepada kelima-lima anaknya yang terdiri daripada 3 orang lelaki dan 2 orang perempuan.
Wasiat seumpama ini adalah tidak sah kerana jelas bercanggah dengan hukum faraid yang memperuntukkan bahagian lelaki menyamai dua bahagian perempuan. Selain itu wasiat memerlukan kepada persetujuan waris-waris yang berhak selepas kematian pewasiat. Hal ini kerana wasiat yang ditujukan kepada waris-waris yang berhak mendapat pusaka (anak-anaknya) melebihi kadar sepertiga keseluruhan harta.
ALLAH SWT telah pun menegaskan dalam firman-Nya, surah Al-Nisa, ayat 11 yang antaranya bermaksud:
“ALLAH perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai dua bahgian anak perempuan.”
Firman ALLAH SWT lagi dalam surah Al-Nisa, ayat 176 bermaksud:
“Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua anak perempuan.”
Jelas bahawa apabila berkumpul antara waris lelaki dan perempuan, waris lelaki akan mengambil bahagiannya dalam pembahagian pusaka Islam yang menyamai dua bahagian waris perempuan. Ini bermakna waris perempuan mendapat setengah daripada bahagian yang diperuntukkan untuk waris lelaki.


KEEMPAT: WASIAT MERUPAKAN PESANAN YANG BERCANGGAH DENGAN SYARAK
CONTOH DIALOG:
“Ayah wasiatkan kepada engkau supaya jangan berkahwin sampai bila-bila kalau engkau hendakkan harta ayah! Kalau tidak satu sen pun jangan harap ayah akan wariskan pada kau!” jerkah Kassim Baba kepada anaknya  Sharif Lobo yang sekarang merupakan pengerusi syarikatnya.
Wasiat seperti ini hanya merupakan pesanan sahaja dan tidak diwajibkan kepada pihak yang ditujukan utnuk memenuhi kehendak pewasiat tersebut. Hal ini kerana wasiat itu jelas mengharamkan perkara yang dihalalkan iaitu melarang untuk berkahwin kepada individu yang telah cukup syarat-syaratnya.

KESIMPULAN
Kesimpulan yang boleh didapati hasil daripada penulisan ini ialah masyarakat Islam seharusnya memahami wasiat dalam erti kata dan konsep yang sebenar selaras dengan syarak. Kefahaman itu dapat mewujudkan kesejahteraan sosial sekaligus menghindarkan mereka daripada kekeliruan dan salah faham yang boleh menjerumuskan mereka kearah kesesatan dan kerosakan.
p/s : Dapatkan penerangan yang lebih jelas sebelum anda bertindak.