Thursday, May 5, 2011

JANGAN BIARKAN WARIS KITA BERBUAT DOSA!




Al-Kisahnya, seorang suami meninggal dunia, dan meninggalkan;
·         Seorang ibu
·         Seorang bapa
·         Seorang isteri
·         Seorang anak lelaki
·         Dua orang anak perempuan.
Selain meninggalkan waris, si mati juga ada meninggalkan hutang yang agak besar jumlahnya. Sedangkan harta yang ditinggalkan tidak seberapa, iaitu sejumlah wang simpanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).
Situasi yang memeningkan kepala…setiap hari  pihak bank dan para pemiutang tidak putus-putus menelefon ke rumah ibu bapa si mati untuk menuntut tunggakan hutang si mati. Si isteri pula runsing memikirkan cara untuk menampung perbelanjaan dan keperluan hidup seharian. Si isteri juga runsing memikirkan masa depan anak-anak.
KWSP…ISTERI SEBAGAI PENAMA
Akhirnya isteri teringat bahawa semasa hidup, suaminya ada memberitahu bahawa dia adalah sebagai PENAMA di KWSP. Maka si isteri punterus membuat urusan untuk mengeluarkan wang di KWSP. Tidak sampai sebulan, wang KWSP peninggalan arwah suami dipindahkan ke akaun si isteri.
Apabila menerima wang tersebut, si isteri terus menggunakannya untuk menampung perbelanjaan seharian seperti makan-minum sekeluarga dan juga biaya persekolahan anak-anak. Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh si isteri tadi adalah suatu yang baik dan wajar. Iaitu wang peninggalan arwah suami digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga dan juga biaya persekolahan anak-anak. Memang ini suatu yang baik & wajar . Walaupun ianya baik & wajar, sebenarnya tanpa disedari si isteri telah berbuat beberapa dosa.
APAKAH DOSA-DOSA ITU???
DOSA MEMAKAN HAK SI MATI
Perkara utama yang mesti diselesaikan oleh waris menggunakan harta yang ditinggalkan oleh si mati ialah untuk melunaskan hutang-hutang si mati. Sama ada hutang dengan ALLAH seperti haji, zakat, nazar, katidak mahu melunaskan hutang-hutang si mati farrah dan seumpamanya atau hutang sesame manusia, khususnya hutang si mati dengan pihak bank dan lain-lain.
Masalahnya perkara itu tidak dilakukan oleh si isteri. Bukannya si isteri tidak mahu melunaskan hutang-hutang si mati. Andaikata si isteri melunaskan hutang-hutang si mati, kemungkinan besar waris tidak memiliki apa-apa bahagian. Sedangkan mereka terpaksa menyara kehidupan.
Sebenarnya selagi hutang si mati tidak dilunaskan, maka selagi itulah si mati akan merana di alam barzakh. Rasulullah SAW menegaskan dalam sabdanya yang bermaksud : “Jiwa seseorang Mukmin itu tergantung dengan hutangnya, sehingga hutang itu dilunasi.” (Riwayat Ahmad,Hajar dan Al-Tirmizi)
Ini bermakna waris bukan sahaja berbuat dosa, bahkan harta yang dimakan tidak bersih kerana ada hak si mati yang masih belum dilunaskan.


DOSA MEMAKAN HARTA SECARA BATIL
Selain itu, pada harta yang ditinggalkan oleh si mati ada bahagian ibu bapa. Walaupun tidak banyak, bahagian tersebut adalah hak yang mesti diserahkan kepada ibu bapa. Seandainya si isteri tidak mahu menyerahkan bahagian ibu bapa – sama ada dia tahu ataupun tidak, lebih-lebih lagi jika tidak dipersetujui oleh ibu bapa si mati – maka sesungguhnya harta yang dimakan oleh si isteri adalah harta yang tidak bersih. Hal ini kerana di situ masih ada hak ibu bapa , sedangkan dalam masa yang sama si isteri telah berbuat dosa memakan bahagian ibu dan bapa si mati.
Sesungguhnya ALLLAH SWT telah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu memakan harta di antara kamu dengan cara yang batil (haram & tidak betul).” Surah Al-Nisa,ayat 26)

DOSA MEMAKAN HARTA ANAK YATIM
Perkara yang ketiga yang perlu difahami bahawa pada harta si mati juga ada hak anak-anak. Walaupun harta peninggalan si mati digunakan untuk menampung perbelanjaan seharian anak-anak, namun hak tersebut hendaklah terlebih dahulu dikeluarkan ataupun diasingkan. Yang terbaik disimpan untuk masa depan mereka.
Andaikata harta tersebut digunakan untuk menyara anak-anak, maka hendaklah dihitamputihkan agar nanti tidak menjadi pertikaian malah boleh dijelaskan kemudian hari. Sekiranya perkara ini tidak dilakukan oleh si isteri dan si isteri tidak mahu mengasingkan bahagian anak-anak, nanti harta yang ditinggalkan si mati tidak cukup untuk menampung kos kehidupan.
Namun demikian, sesungguhnya si isteri telah berbuat dosa . Iaitu dosa memakan harta anak yatim. Sesungguhnya ALLAH SWT menegaskan dalam firman-NYA yang bermaksud: “Sesungguhnya  orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.” (Surah Al-Nisa, ayat 10)

SAMA-SAMA KITA BERINGAT…
Oleh sebab itu, semasa hidup hendaklah kita sama-sama beringat. Rancanglah apa yang perlu kita rancang. Andainya kita punyai banyak hutang, maka berusahalah untuk melunaskan hutang-hutang semasa hidup. Selain itu, ambillah polisi takaful. Antara tujuannya untuk melunaskan baki hutang-hutang selepas kematian kita. Selebihnya boleh diwariskan untuk perbelanjaan hidup anak-anak.
Buatlah Dokumen Pewarisan Harta, yang digunakan untuk memaklumkan kepada isteri ataupun suami perkara-perkara yang perlu dilakukan selepas kematian kita, seperti mengumpulkan harta-harta peninggalan kita, buatlah apa-apa urusan dengan pihak berkenaan untuk menyelesaikan urusan pusaka kita. Bayarkan hutang-hutang kita seperti yang tercatat dalam dokumen pewarisan harta, selebihnya berikan hak waris-waris…untuk ibu bapa sekian jumlahnya, untuk anak-anak sekian jumlahnya – iku pembahagian faraid seperti yang dicatatkan dalam dokumen pewarisan harta.
Mudah-mudahan dengan cara ini kita yang telah meninggal dunia terlepas daripada berbagai azab seksa di alam barzakh. Pada masa yang sama, seluruh waris kita juga turut terselamat daripada berbuat dosa, seperti dosa memakan hak si mati, dosa memakan harta secara batil dan dosa memakan harta anak yatim.

No comments:

Post a Comment